PENDAHULUAN
Pembajaan
merupakan komponen kos penanaman yang paling tinggi (50-60%) dalam
sesuatu operasi ladang. Banyak ladang yang telah berjaya meningkatkan
hasil melalui kualiti pembajaan yang baik. Namun begitu tidak kurang
juga ladang-ladang yang telah membelanjakan wang yang banyak untuk jenis
baja yang difikirkan terbaik, kerja percontohan daun/tanah serta
analisis dan mengubahsuai kadar baja yang ditabur tetapi tidak
memanfaatkan usaha-usaha ini disebabkan kelalaian dan penyeliaan yang
tidak sempurna atau menyeluruh di ladang
KESALAHAN-KESALAHAN YANG SERING DITEMUI DI LADANG
-
Kaedah penaburan baja tidak betul. Baja tidak ditabur rata tetapi
bertompok-tompok dalam bulatan pokok. Ini boleh menyebabkan kerosakan
pada akar tanaman dan mengundang kepada kehilangan baja melalui air
larian permukaan dan larut resap.
- Masa pembajaan tidak betul iaitu dilakukan pada musim kering ataupun musim hujan.
-
Kadar baja tidak mencukupi terutama pada kawasan tanaman muda dan yang
berpotensi untuk berhasil tinggi akibat daripada penyeliaan yang tidak
sempurna.
- Ketidakseimbangan baja yang ditabur iaitu jenis baja ditabur tidak mengikut keperluan pokok.
-
Salah tempat perletakan baja. Kesuburan pokok diatasi secara mudah
iaitu dengan meningkatkan kadar baja berbanding dengan untuk memperbaiki
sifat fizikal atau saliran tanah terlebih dahulu.
-
Pelepah pokok sawit yang belum matang kerap kali dicantas secara
berlebihan menyebabkan baja yang ditabur banyak tertumpu untuk
pembentukan vegetatif pokok berbanding untuk pembentukan bahagian
reproduktif seperti bunga dan tandan buah.
KEPERLUAN ZAT NUTRIEN PADA POKOK SAWIT
A. Nutrien Utama
1. Nitrogen (N)
-
Penting dalam pembentukan klorofil, protin dan beberapa enzim dalam
tumbuhan. Memberi kesan terhadap luas permukaan daun, warna daun dan
kadar penghasilan daun.
-
Kekurangan N amat nyata pada pokok sawit muda yang ditanam pada kawasan
berprofil cetek, berpasir ataupun tanah yang tidak bersaliran baik.
Sumber baja N contohnya ammonium sulfat (21%N), urea (46%N), dan
ammonium nitrate (34%N).
2. Fosforus (P)
- Kekurangan P boleh menyebabkan pertumbuhan palma terbantut, pelepah pendek, ukurlilit batang dan saiz tandan kecil.
- Bagaimanapun, kandungan P secara berlebihan dalam palma boleh menindas pengambilan kuprum (Cu) dan zink (Zn).
- Sumber baja fosforus contohnya CIRP (35% P2O5), TSP (46% P2O5) dan Gafsa (29% P2O5)
3. Kalium (K)
-
Kandungan K yang cukup boleh meningkatkan ketahanan pokok sawit
terhadap serangan penyakit dan musim kemarau serta boleh meningkatkan
bilangan dan saiz tandan.
-
Kekurangan K pada palma kerap berlaku pada tanah berpasir dan gambut.
Tanda-tanda kekurangan K adalah bintik-bintik oren (orange spotting)
pada daun dan dalam keadaan teruk hujung daun menjadi kering.
-
Kandungan K yang berlebihan dalam palma boleh menjejaskan kandungan
minyak dalam tandan,merendahkan kandungan boron (B) dan magnesium (Mg)
dalam palma. Sumber K adalah seperti MOP (60% K2O) dan abu tandan (bunch
ash) (30-40% K2O).
4. Magnesium (Mg)
-
Magnesium adalah elemen utama dalam klorofil dan sangat penting untuk
kecekapan fotosintesis.Selain itu ia juga berperanan untuk metabolisma
fosfat, respirasi tumbuhan dan pengaktifan enzim.
- Kekurangan Mg kerap berlaku pada tanah berpasir dan sangat berasid.
-
Daun pada pelepah tua yang terdedah pada matahari akan menjadi
kuning/oren bermula pada tepi lai daun. Dalam keadaan teruk hujung dan
keseluruhan pelepah bawah akan berwarna kuning/oren dan menjadi kering.
- Kandungan K dan Ca yang tinggi dalam tanah boleh menjejaskan pengambilan Mg oleh palma.
- Sumber Mg adalah seperti Kieserite (27% MgO) dan GML (18-20% MgO).
5. Kalsium (Ca)
-
Keperluan Ca tidak begitu ketara pada tanaman sawit. Keperluan Ca oleh
pokok sawit dapat dipenuhi secara tidak langsung dengan pemberian baja
fosfat (RP) dan kapur (GML) kerana kedua-duanya mengandungi Ca.
-
Hanya diperlukan pada tanah berasid dan gambut untuk mengurangkan
keasidan tanah dan seterusnya meningkat penyerapan nutrien lain seperti
N, P dan unsur mikro oleh palma.
- Sumber: GML (18 – 20% MgO)
B. Mikro Nutrien
1. Boron (B)
Kekurangan
boron menyebabkan rupabentuk daun tidak normal seperti daun bercangkuk
(hooked leaf), daun kerinting (crinkled leaf), daun pelepah kecil, daun
berbentuk tulang ikan (fish-bone leaf) dan cacat hujung daun (blind
leaf). Keperluan B pada palma meningkat apabila pendebungaan sawit
bertambah baik dengan bantuan agen pendebungaan seperti Elaeidobius
kamerunicus. Kekurangan B juga berkaitan dengan kandungan N, K dan Ca
yang tinggi dan tidak seimbang pada pokok sawit. Sumber B: Pelbagai
sumber sodium borate seperti HGFB (46-48% B2O3)
2. Kuprum (Cu)
Kekurangan
Cu berlaku pada pokok sawit yang ditanam pada tanah gambut atau sangat
berpasir. Gejala yang teruk menyebabkan pucuk/daun pelepah muda menjadi
pendek, kuning dan akhirnya kering. Juga dikenali sebagai 'mid-crown
chlorosis'. Sumber Cu adalah seperti kuprum sulfat.
3. Zink (Zn)
Kekurangan
Zn kerap berlaku pada tanah gambut dan boleh menjejaskan pembentukan
vegetatif dan reproduktif palma. Daun pelepah bawah kekuningan dan
dikenali sebagai 'peat yellow'. Sumber Zn adalah seperti zink sulfat
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PENGAMBILAN NUTRIEN OLEH POKOK SAWIT
1. Kaedah Penaburan Manual iaitu samada di bulatan atau baris pelepah.
2. Masa Penaburan Elakkan aplikasi baja pada musim panas berpanjangan atau musim hujan.
3. Kekerapan Penaburan Bergantung kepada topografi ladang, jenis tanah, jumlah hujan tahunan, dan jenis baja.
4. Kadar Baja Bergantung kepada umur pokok dan potensi hasil sesuatu kawasan.
5.
Tempat Perletakan Baja Bergantung kepada umur pokok dan topografi iaitu
baja ditabur samada di bulatan, lorong pelepah atau teres
6.
Kualiti Baja Baja yang tidak berkualiti mempunyai kadar nutrien yang
lebih rendah daripada yang sepatutnya dan jika tidak diambil perhatian
menyebabkan pokok tidak mendapat zat nutrien yang cukup dan kerugian
pada pihak ladang. Dua komponen yang perlu diberi perhatian iaitu
komposisi nutrien dalam baja dan peratusan kelembapan pada baja. Oleh
itu setiap jenis baja yang diterima perlu disampel untuk analisa
kedua-dua komponen berkenaan sebelum baja tersebut diaplikasi ke ladang
FAKTOR-FAKTOR KEHILANGAN NUTRIEN
1. Persediaan Awal Ladang Tidak Betul
Berlaku hakisan di ladang secara meluas menyebabkan kehilangan banyak tanah atas (topsoil)
2. Pemeruwapan (volatilisation)
Berlaku pada baja berunsur N seperti Urea. Boleh dikurangkan melalui:
a) Aplikasi baja berunsur N (urea) pada bulan lembap
b) Baja N yang ditabur ditutup dengan tanah (raking in).
c) Aplikasi baja N dipecahkan kepada beberapa pusingan.
3. Larut resap (leaching)
- Kerap berlaku pada kawasan tanah berpasir dan menerima hujan tinggi.
- Unsur N, K dan Mg adalah nutrien utama yang boleh hilang melalui larut resap.
- Kehilangan melalui larut resap boleh dikurangkan secara:
a) Aplikasi sesuatu jenis baja dipecahkan kepada beberapa pusingan.
b) Menabur rata baja pada kawasan akar aktif tanaman untuk meningkatkan kadar serapan.
c)
Mengelakkan pembajaan pada bulan-bulan yang hujan tinggi iaitu hujan
melebihi 250 mm per bulan atau bilangan hari hujan melebihi 15 hari per
bulan.
d) Sungkupan dengan tandan kosong untuk meningkatkan kandungan organik tanah.
e) Meninggikan pH tanah berasid melalui pengapuran untuk meningkatkan kadar pertukaran kation (CEC).
4. Hakisan
- Melibatkan kehilangan tanah atas dan zat nutrien yang terkandung bersamanya.
- Kehilangan nutrien melalui hakisan dan air larian permukaan boleh dikurangkan secara:
a) Aplikasi baja dibahagikan kepada beberapa pusingan.
b) Kekalkan penutup bumi yang baik dalam ladang
c) Penggunaan tandan kosong ataupun pelepah yang dicantas sebagai sungkupan
d) Pembinaan teres dan tapak tanaman yang baik pada kawasan berbukit.
e) Penggunaan ban (soil bund) ataupun 'silt pit' untuk memperlahan dan memerangkap aliran air pada kawasan teres
5. Zat Nutrien Diikat Oleh Tanah (Fixation)
Contohnya:
a) Nitrogen (N) diikat oleh tumbuhan kekacang ataupun mikrob untuk proses pereputan bahan organik.
b) Fosforus (P) diikat oleh tanah yang kaya dengan unsur Fe dan Al. Proses pengikatan ini boleh dan akan dikurangkan apabila:
a) Bahan organik telah terurai sepenuhnya dan unsur N dibebaskan secara mineralisasi.
b)
Aplikasi baja fosforus (P) secara jalur (band application), di atas
pelepah ataupun di luar bulatan pokok iaitu kawasan akar aktif untuk
mengurangkan sentuhan baja dengan tanah.
c) Melakukan pengapuran pada tanah pH rendah.
d) Sungkupan permukaan tanah dengan pelepah yang dicantas ataupun tandan kosong.
KESIMPULAN
Peningkatan
penghasilan BTS bergantung kepada beberapa faktor seperti tanah,
pembajaan, cuaca (hujan, suhu, cahaya), amalan agronomi dan tahap
pengurusan ladang. Oleh kerana baja merupakan komponen kos yang tinggi
dalam operasi perladangan sawit, kualiti baja dan keberkesanan pembajaan
janganlah dipandang ringan oleh pihak pengurusan. Faktor-faktor yang
mempengaruhi keberkesanan pembajaan adalah:
a) Kaedah membaja b) Masa penaburan
c) Kadar pembajaan
d) Persaingan rumpai
e) Bilangan dirian pokok
f) Serangan perosak & penyakit
No comments:
Post a Comment